By Brad Rantayy
MIRI, Okt 10: Dua pot pengedaran dan penagihan dadah di Simpang Ngu, Batu Niah digempur polis awal pagi ini.
Dalam serbuan tersebut, seramai lapan lelaki, termasuk dua warga tempatan dicekup anggota polis Task Force dari Jabatan Siasatan Jenayah Miri (JSJ) ketika operasi sekitar jam 5 pagi itu.
Dalam serbuan tersebut, seorang anggota JSJ Miri hampir cedera selepas diserang salah seorang suspek yang tiba-tiba ‘naik minyak’ lalu bertindak berlari ke arah sepasukan polis, dan merempuh anggota tersebut sebelum menumbuk mukanya.
Tindakan pantas pihak polis berjaya menumpaskan suspek lelaki berkenaan yang bersenjatakan sebilah pisau ‘belatik’.
Hasil pemeriksaan lanjut di dalam dua buah rumah ‘kongsi’ itu yang dipercayai dijadikan ‘pot’ pengederan dan penjualan dadah dan didapati terdapat tingkap bersaiz kecil berfungsi sebagai kaunter pembayaran pelanggan yang datang membeli bekalan dadah.
Beberapa plastik lutsinar dan tube straw kecil juga ditemui di dalam kedua-dua rumah berkenaan.
Dipercayai dadah yang telah siap dibungkus dijual pada harga RM50 sepeket, mengikut berat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 12 (2) dan Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Pada hari yang sama, di lokasi berhampiran, sebanyak enam premis dipercayai menjalankan aktiviti judi haram dalam talian juga diserbu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta rumah Judi terbuka 1953.–DayakDaily