Lelaki hampir putus pergelangan tangan, cedera di dahi dan belakang kepala akibat ditetak

PDRM logo

MATU DARO, 5 Okt: Seorang lelaki nyaris putus pergelangan tangan kanan dengan kesan tetakan di dahi serta belakang kepala dalam satu insiden amuk di sebuah kampung di daerah ini hari ini.

Ketua Polis Daerah Matu Daro DSP Neil Baginda berkata pihaknya menerima panggilan daripada orang awam mengatakan seorang lelaki mengamuk menggunakan parang sekitar jam 1 pagi.

Katanya, anggotanya terus ke lokasi kejadian selepas itu dan menemui mangsa yang berusia 56 tahun dalam keadaan berlumuran darah.


“Mangsa ditemui duduk di tangga rumah dengan kesan tetakan di dahi, belakang kepala, pergelangan tangan kanan hampir putus dan ibu jari kiri.

“Mangsa segera dibawa ke klinik Tian, Matu dan seterusnya dirujuk ke Hospital Sibu untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, pihak polis turut menangkap seorang suspek lelaki berusia 57 tahun.

“Suspek ditangkap dan parang yang digunakan menetak mangsa turut ditemui.

“Suspek kini ditahan di lokap Balai Polis Daro dan direman sehingga 9 Okt ini untuk siasatan lanjut,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan. — DayakDaily