This Content Is Only For Subscribers
KUCHING, 20 Jun: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching berjaya menumpaskan dua geng yang disyaki aktif melakukan kes pecah rumah dan curi serta kes samun berkumpulan baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata seramai tujuh ahli geng yang dikenali sebagai ‘Geng Mar’ dan ‘Geng Debu’ tersebut berjaya ditangkap sekaligus melumpuhkan kedua-dua geng terbabit.
Katanya, tiga daripada suspek lelaki berusia 18 hingga 25 tahun dari Geng Debu dan empat lagi suspek lelaki berusia 24 hingga 33 tahun daei Geng Mar.
“Tangkapan yang dibuat terhadap kumpulan yang dikenali sebagai Geng Mar dilakukan oleh cawangan D9 Siasatan Khas BSJD Kuching iaitu kurang 24 jam (16 Jun) selepas kejadian.
“Turut dirampas daripada suspek ialah senjata pisau, pakaian dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Avanza,” katanya dalam sidang media, di sini hari ini.
Kesemua suspek Geng Mar disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan iaitu melakukan rompakan secara berkumpulan dengan menggunakan senjata.
“Dengan tertangkapnya keempat-empat suspek, polis telah berjaya menyelesaikan empat kes samun berkumpulan dan bersenjata melibatkan premis-premis 24 jam yang dilaporkan berlaku di Kuching,” katanya.
Ssmentara bagi Geng Debu, seramai tiga suspek berusia 18 hingga 33 tahun ditangkap pada 13 Jun.
“Turut dirampas adalah televisyen 42 inci, tiga unit kompresor pelbagai jenama dan guna serta plastik yang mengandungi pelbagai wayar elektrik yang telah dicuri oleh suspek semasa kejadian.
“Dengan tertangkapnya kesemua suspek Geng Debu, pihak polis berjaya menyelesaikan 10 kes pecah rumah dan curi yang dilaporkan berlaku di sekitar kawasan Stutong dan Stampin,” kata Ahsmon.
Siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.
Selain itu, semakan juga mendapati kesemua tujuh suspek masing-masing mempunyai rekod jenayah lampau.
Hasil saringan air kencing juga mendapati kesemua suspek positif untuk dadah. ā DayakDaily