Polis tahan tiga sekawan termasuk seorang remaja disyaki curi trak pikap

Suspek membawa pihak polis ke satu kawasan ladang sawit di Sungai Manong ke lokasi trak pikap tersebut disembunyikan.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 29 Mei: Kurang 24 jam selepas sebuah pikap trak dilaporkan dicuri di Simpang Ngu Jalan Miri-Bintulu, polis menahan tiga pemuda warga tempatan.

Kenderaan tersebut telah dilaporkan hilang selepas diparkirkan berhadapan sebuah kedai pada Jumaat (27 Mei) lalu.


Menurut Ketua Polis Daerah Miri ACP Alexson Naga Chabu, kesemua suspek berusia 15, 20 dan 24 tahun itu ditahan di dua lokasi berasingan di sekitar Sungai Sekaloh dan Sungai Manong.

Trak pikap ditemui di dalam sebuah kebun kelapa sawit berhampiran Sungai Manong.

Kesemua empat buah tayar pikap yang telah dicabut suspek turut juga berjaya ditemui semula.

Tangkapan dilakukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Miri dibantu unit Ronda Cegah Jenayah (RCJ) Balai Polis Batu Niah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan. — DayakDaily