Lelaki disyaki melibas pisau, tumbuk adik kerana lama ‘tanam anggur’

Suspek (tengah) ditahan polis untuk tindakan lanjut.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 29 Mei: Disyaki berang kerana adik lelakinya menganggur terlalu lama dan enggan mencari pekerjaan, seorang lelaki dipercayai telah bertindak mencederakan mangsa menggunakan sebilah pisau dalam satu kejadian awal pagi ini.

Dalam kejadian, suspek berusia 28 tahun itu turut bertindak menumbuk mangsa.


Mangsa berusia 25 tahun itu dilaporkan mengalami kecederaan pada bahagian tangan kanan akibat dilibas suspek menggunakan pisau.

Menurut Ketua Polis Daerah Miri ACP Alexson Naga Chabu, kejadian berlaku sekitar jam 12.30 pagi di ruang tamu sebuah rumah di Bandar Baru Permyjaya.

Tangkapan dibuat pada pagi yang sama selepas pihak polis dimaklumkan kejadian.

Suspek direman selama empat hari bermula hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan. — DayakDaily