Polis tahan suspek miliki dadah jenis syabu

Suspek dan dadah disyaki jenis syabu yang dirampas.

BATU KAWAH, Mei 21: Polis berjaya menahan seorang lelaki selepas disyaki memiliki peket plastik lutsinar berisi ketulan hablur jernih dipercayai dadah jenis syabu dalam satu serbuan di tempat letak kereta bersebelahan KFC, Emart, Jalan Batu Kawa di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Padawan, Supt. Aidil Bolhassan berkata, suspek berusia 28 tahun itu diberkas anggota polis dari BSJND IPD Padawan pada pukul 1.15 petang.

Katanya, sebelum kejayaan itu, pihak polis mengesan pergerakan suspek dalam keadaan mencurigakan.

“Anggota polis kemudian menahan suspek sebelum melakukan pemeriksaan lanjut.

“Hasil pemeriksaan dalam kereta suspek, polis telah menjumpai dua peket plastik lutsinar sederhana besar berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu seberate 50.50 gram yang diletakkan di bawah kerusi penumpang bahagian belakang,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Aidil menambah, siasatan awal mendapati suspek mengaku memiliki dadah tersebut dari seorang pengedar lelaki dikenali dengan nama ‘Ah How’.

Katanya, suspek juga mempunyai rekod lampau di bawah Seksyen15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 12(2) ADB 1952.

“Suspek juga mengaku mengambil dadah jenis syabu sejak 3 tahun lepas.

“Nilai pasaran rampasan dadah itu dianggarkan sebanyak RM6,000.

“Hasil ujian saringan awal suspek juga positif dadah methamphetamine,” katanya. ā€” DayakDaily