Penunggang motosikal maut dalam kemalangan

Keadaan kemalangan melibatkan sebuah motosikal dan kereta di Jalan Stapok Utama, Batu Kawah.
Advertisement

KUCHING, Mei 21: Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas lalu bertembung dengan sebuah kereta di Jalan Stapok Utama, Batu Kawah di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.05 pagi itu, mangsa John Taro Kuin, 34, disahkan meninggal dunia di Hospital Umum Sarawak (HUS) semasa mendapatkan rawatan di wad kecemasan hospital berkenaan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt. Alexson Naga Chabu berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di HUS pada pukul 12.45 tengah hari.

Advertisement

Katanya, lelaki yang menetap di Kampung Sungai Apong di sini maut dipercayai akibat kecederaan parah pada kepalanya.

“Siasatan awal mendapati kemalangan itu dipercayai berlaku apabila motosikal mangsa tiba-tiba memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kereta Perodua Kenari.

“Kesan perlanggaran itu mengakibatkan mangsa tercampak dari motosikal dan mengalami kecederaan parah sebelum dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan kecemasan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Alexson menambah, pemandu kereta yang berusia 26 tahun pula tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, mayat mangsa akan dibedah siasat esok kira-kira pukul 9 pagi.

“Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. — DayakDaily

Advertisement