Polis tahan pengawal keselamatan muatnaik status hina agama

Kenyataan yang dimuatnaik oleh suspek dalam Facebook.
Advertisement

KUCHING, April 25: Polis menahan seorang pengawal keselamatan petang semalam selepas disyaki memuat naik kenyataan menghina agama Islam dalam laman social Facebook kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Sarawak, Datuk Dev Kumar berkata, suspek berumur 50 tahun itu ditangkap pada pukul 6.45 petang.

Katanya, suspek ditahan susulan laporan polis yang diterima daripada seorang lelaki berumur 42 tahun di Balai Polis Batu Kawa pada pukul 8.45 pagi semalam.

Advertisement

“Pengadu berpendapat ayat-ayat yang ditulis oleh pemilik akaun Facebook itu berunsur perkauman dan menghina agama Islam.

“Pengadu telah membuat laporan untuk siasatan polis. Suspek juga telah mengaku memuat naik status berunsur perkauman dan menghina agama, tetapi dakwanya status itu dilakukan semasa dia di bawah pengaruh alkohol.

“Permohonan reman terhadap suspek dilakukan di Mahkamah Majistret Kuching hari ini bagi siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Dev menambah, pihaknya menasihati agar netizen untuk tidak membuat posting atau komen dalam media sosial berunsur perkauman atau menghina mana-mana agama yang boleh menyebabkan suasana tidak harmoni dan permusuhan.

Jelas beliau, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana orang yang berbuat demikian.

“Kes itu disiasat di bawah seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia,” katanya. — DayakDaily

Advertisement