Cabul murid perempuan dalam kelas, guru lelaki diberkas

Datuk Dev Kumar

MIRI, April 25: Tindakan durjana seorang guru lelaki yang disyaki mencabul seorang murid sekolah rendah di Batu Niah akhirnya terbongkar selepas lelaki itu ditahan polis petang semalam.

Suspek berusia 40 tahun itu ditangkap di perkarangan Balai Polis Miri di sini pada pukul 3.30 petang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Sarawak, Datuk Dev Kumar memberitahu, sebelum itu pihak polis telah menerima laporan daripada ibu kanak-kanak perempuan berkenaan.

Jelas beliau, berdasarkan laporan daripada wanita berusia 26 tahun itu, dia mendakwa anaknya berusia lapan tahun telah dicabul banyak kali oleh suspek di dalam kelas di belakang meja guru sejak tahun lepas.

Suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini.


“Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 14 (a) dan 16 (1) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017,” ujarnya dalam satu kenyataan akhbar hari ini. — DayakDaily