Polis tahan dua penganggur miliki methamphetamine

Royal Malaysia Police logo

KUCHING, Mei 14: Polis menahan dua lelaki selepas disyaki memiliki dadah jenis methamphetamine menerusi satu serbuan di jalan berdekatan Dewan Komuniti Kenyalang Park di sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kuching, Acp Ng Ah Lek berkata, kedua-dua penganggur masing-masing berusia 29 dan 27 tahun itu diberkas pada pukul 10.30 malam.

Katanya, serbuan dan tangkapan tersebut telah dibuat oleh sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Kuching.


“Pemeriksaan lanjut telah menemui satu plastik hitam yang mengandungi tiga plastik lutsinar mengandungi ketulan-ketulan kristal disyaki dadah jenis methamphetamine.

“Anggaran berat dadah yang dirampas ialah seberat 156.33 gram dan nilai rampasan dadah adalah sebanyak RM28,080,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Mengulas lanjut, Ng memberitahu, suspek berusia 29 tahun itu memiliki rekod jenayah lampau, manakala seorang lagi suspek tidak mempunyai rekod jenayah sebelum ini.

Katanya, hasil ujian saringan awal polis mendapati urin kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine.

“Kedua-dua suspek kini ditahan reman selama tujuh hari sehingga Mei 20 ini untuk disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya lagi.

Mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, jika disabitkan kesalahan boleh dijatuhkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang 15 kali.

Manakala, Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda tidak lebih daripada RM5,000 atau hukuman penjara tidak lebih dari dua tahun. — DayakDaily