Pejalan kaki maut tercampak selepas dirempuh Toyota Hilux

Kolaj foto menunjukkan kad pengenalan mangsa dan keadaan di tempat kejadian.

SIBU, Mei 14: Seorang pejalan kaki menemui ajal selepas dirempuh sebuah Toyota Hilux di Jalan Wong King Huo di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.50 pagi itu, mangsa, Wong Chee Teck@Yew Chee Teck, 79, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada anggota badannya.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt Alexson Naga Chabu berkata, sebelum kejadian, mangsa dikatakan sedang berjalan kaki di tepi jalan berkenaan.


Bagaimanapun katanya, mangsa dikatakan tiba-tiba melintas jalan tanpa menyedari Toyota Hilux sedang bergerak di laluan tersebut.

“Pemandu Toyota Hilux yang gagal memberhentikan kenderaan pacuan empat roda itu kemudian melanggar mangsa.

“Impak rempuhan kuat itu menyebabkan mangsa tercampak atas jalan raya dan mengalami kecederaan parah,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Alexson menambah, pemandu lelaki berusia 39 tahun pula tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, mayat mangsa sudah dibawa ke Hospital Sibu untuk tindakan lanjut.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1), Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya lagi. — DayakDaily