Polis siasat punca kematian lelaki di kolam renang sebuah apartmen di Kuching

ACP Ahsmon Bajah

KUCHING, 6 Julai: Polis sedang menjalankan siasatan berhubung kematian seorang lelaki di kolam renang sebuah apartmen di Jalan Tun Jugah, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata pihaknya kini sedang menjalankan siasatan terperinci dari semua aspek berhuhung kematian lelaki warga tempatan berusia 34 tahun itu.

Katanya, siasatan polis setakat tidak menemui sebarang unsur jenayah di lokasi kejadian.


“Siasatan setakat ini, tiada saksi menjurus kepada elemen-elemen jenayah dan punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Jelasnya juga, mangsa dilihat saksi datang ke kolam renang tersebut pada petang hari kejadian.

“Kita difahamkan dia memang tinggal di apartmen tersebut, tetapi belum dapat dipastikan sama ada dia menyewa atau menetap di situ,” katanya.

Kes tersebut setakat ini diklasifikasikan sebagai kes mati mengejut (SDR).

“Kita menyeru masyarakat agar tidak membuat sebarang spekulasi berhuhung kejadian dan biar polis menjalankan siasatan,” katanya. — DayakDaily