Lelaki disiasat seludup dadah bernilai RM140,580 guna bas di Kuching

Dadah yang dirampas daripada suspek.

KUCHING, 6 Julai: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak menangkap seorang lelaki kerana disyaki terlibat kegiatan penyeludupan dadah dalam satu operasi semalam.

Pengarahnya Herman Shah Abdullah berkata suspek berusia 30-an itu ditangkap ketika hadir di terminal bas Kuching Sentral untuk menuntut satu bungkusan iaitu sekitar jam 6.05 petang.

Jelas beliau, pemeriksaan ke atas bungkusan tersebut didapati mengandungi 48 paket serbuk jus yang didalamnya mengandungi dadah jenis Ecstasy seberat kira-kira 2,343 gram dianggarkan bernilai RM140,580.


Semakan awal mendapati bungkusan tersebut telah dihantar oleh individu di Miri menggunakan perkhidmatan bas antara bandar.

“Modus operandi adalah menggunakan perkhidmatan kargo bas antara bandar untuk mengedar dadah masuk ke Kuching.

“Dadah dibungkus menggunakan paket serbuk jus dipercayai untuk mengelirukan pihak berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kes disiasat di bawah seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, iaitu kesalahan mengedar dadah berbahaya.

“Suspek jika disabitkan kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati di bawah seksyen 39B(2) akta yang sama,” katanya.

Turut dirampas adalah wang tunai berjumlah RM889 dan juga sebuah kenderaan Toyota Vios yang dianggarkan bernilai RM25,000.

Jumlah keseluruhan rampasan adalah dianggarkan sebanyak RM166,479. — DayakDaily