Polis siasat dakwaan berlaku pertaruhan untuk kemenangan kerusi DUN

Aidi (tengah) ketika sidang media di Briged Sarawak PGA.
Advertisement

KUCHING, 8 Dis: Polis Kontinjen Sarawak sedang menyiasat dakwaan berhubung berlakunya kegiatan pertaruhan bagi kemenangan calon di beberapa kerusi DUN pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) ini.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail berkata pihaknya melalui Unit Cawangan Khas dan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) sedang menyiasat perkara tersebut susulan yang dibuat oleh calon GPS Datuk Seri Tiong King Sing bahawa berlaku pertaruhan bagi kemenangan calon di kerusi DUN Dudong.

“Kita sudah respon kepada pihak Datuk Seri Tiong King Sing berkenaan isu berlakunya pertaruhan untuk kerusi DUN tersebut.

Advertisement

“Saya juga sudah arahkan SB (Cawangan Khas) dan JSJ untuk memantau perkara ini,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Briged Pasukan Gerakan Am (PGA) Sarawak Batu Kawa, di sini hari ini.

Beliau turut menegaskan tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan ke atas mana-mana pihak sekiranya didapati terlibat dalam kegiatan pertaruhan tersebut.

“Kita tidak akan berkompromi, kerana kita tidak mahu timbulnga isu perjudian semasa PRN-12 ini,” tegasnya.

Sementara itu, seramai 7,434 pegawai dan anggotanya akan ditugaskan semasa hari mengundi dan penjumlahan rasmi undi pada 18 Disember ini.

“Untuk penamaan calon dan sepanjang tempoh berkempen pula, seramai 5,522 pgawai dan anggota dikerahkan bagi memastikan ia berjalan lancar,” katanya.

Tambahnya, Briged Sarawak Pasukan Gerakan Am (PGA) turut menyediakan empat Pasukan Public Order and Riot Unit (PORU).

“Dua daripada unit tersebut berada di Batalion 11 PGA Kuching, satu di Batalion 10 PGA Sibu dan satu unit lagi di Batalion 12 PGA Miri.

“Manakala satu unit Pasukan Water Canon juga turut bersiap siaga di Batalion 11 PGA Kuching dengan kekuatan seorang pegawai dan 10 pegawai rendah polis,” katanya. — DayakDaily

Advertisement