Dua disyaki ejen judi dalam talian ditangkap di Tondong, Bau

Suspek ditangkap untuk siasatan lanjut.

BAU, 18 Mac: Dua individu disyaki ejen judi dalam talian ditangkap dalam dua serbuan berasingan di pekan Tondong Lama, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Bau DSP Poge Nyaon berkata tangkapan membabitkan dua suspek iaitu seorang lelaki dan wanita berusia 19 dan 21 tahun.

Katanya, tangkapan adalah hasil daripada maklumat dan risikan yang dibuat sekitar jam 2 hingga 5 petang.


Siasatan awal polis setakat ini menemui aplikasi mencurigakan di telefon bimbit suspek yang dipercayai berkaitan judi dalam talian.

Susulan itu, telefon bimbit serta sejumlah wang tunai telah dirampas daripada suspek untuk siasatan lanjut.

Kedua-dua suspek juga tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953. — DayakDaily