Polis siasat Awang Tengah kerana tidak pakai pelitup muka

Video yang tular di media sosial menunjukkan Awang Tengah tidak memakai pelitup muka di tempat awam.

KUCHING, 9 April: Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka satu kertas siasatan ke atas Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan kerana gagal mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) Covid-19.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail menerusi kenyataan akhbarnya semalam berkata siasatan dijalankan selepas mendapati Timbalan Ketua Menteri terbabit tidak memakai pelitup muka semasa lawatannya di Kuala Matu.

Beliau memberitahu, video kejadian telah dirakamkan di lokasi dan ditularkan di media sosial baru-baru ini.


“Kertas siasatan telah dibuka terhadap beliau di bawah Seksyen 21A Akta Pencegahan Dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

“Kertas siasatan telah dirujuk ke Pengarah Pendakwaan Negeri Sarawak dan sedang menunggu keputusan,” katanya.

Susulan itu, beliau sekaligus menafikan dakwaan sesetengah pihak yang mendakwa tiada tindakan daripada PDRM mengenai pelanggaran SOP tersebut.

“Orang ramai adalah dinasihatkan berhati-hati ketika mengeluarkan komen atau kenyataan di media sosial agar tidak timbul salah faham,” ujarnya. — DayakDaily