Polis Serian berkas suspek curi rim kenderaan

Kelihatan rim kenderaan yang ditemui oleh polis.

SERIAN, Feb 23: Polis Serian berjaya memberkas tiga suspek yang disyaki terlibat dalam beberapa kes curi rim kenderaan di daerah itu petang semalam.

Ketua Polis Daerah Serian, Dsp. Aswandy Anis berkata, ketiga-tiga suspek berusia 17 hingga 34 tahun itu diberkas pada pukul 6 petang.

Menurutnya, suspek terbabit ditahan susulan maklumat serta risikan polis yang dilakukan kira-kira 5.30 petang.


“Siasatan awal mendapati ketiga-tiga suspek yang merupakan lelaki tempatan itu terlibat dalam dua kes mencuri rim kenderaan.

“Kejadian terakhir dilaporkan semalam sekitar pukul 6 pagi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Suspek yang ditahan selepas disyaki terlibat dalam aktiviti mencuri rim kenderaan.

Mengulas lanjut, Aswandy memberitahu, hasil kejayaan itu, pihak polis berjaya menemui semula rim kenderaan yang dilaporkan hilang sebelum ini.

Katanya, polis turut merampas pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan oleh suspek untuk melakukan kegiatan jenayah itu.

“Kesemua suspek akan ditahan reman untuk siasatan lanjut,” katanya lagi. — DayakDaily