Pelayar solo Amerika berdepan detik cemas, bot dinaiki hampir karam

Tawang (kanan) bersama Jonathan selepas membantu pelayar warga Amerika itu memindahkan barang-barang dari bot yang karam di Jeti Kastam, Limbang semalam.

LIMBANG, Feb 23: Seorang pelayar solo warga Amerika Syarikat berdepan detik mencemaskan apabila bot yang dikemudinya hampir karam berhampiran Jeti Kastam di sini semalam.

Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 petang itu, pelayar tersebut, Jonathan Wayne, 72, tidak mengalami sebarang kecederaan dan selamat.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Limbang, Tawang Linggem berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada pukul 4.48 petang.


Katanya, sepasukan enam anggota bomba kemudian bergegas ke lokasi kejadian untuk melakukan kerja-kerja susulan.

Anggota bomba membantu mengangkat barang-barang dari bot pelayar Amerika yang hampir karam di Jeti Kastam, Limbang semalam.

“Semasa tiba di jeti tersebut, anggota bomba mendapati bot milik warga lelaki Amerika Syarikat tersebut telah diikat di tiang jeti, namun dalam keadaan hampir karam.

“Pemeriksaan lanjut mendapati Jonathan dalam keadaan selamat tanpa mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Tawang menambah, anggota bomba kemudian membantu mengangkat barang-barang dalam bot milik warga Amerika itu.

Jelas beliau, ini merupakan kali kedua pelayar warga emas itu berdepan insiden bot karam.

“Pada tahun lalu, pelayar solo itu turut mengalami masalah insiden sama,” ujarnya lagi. ā€” DayakDaily