Bomba selamatkan kanak-kanak terperangkap dalam bilik

Anggota bomba berjaya menyelamatkan seorang kanak-kanak yang terkunci di dalam sebuah bilik.

SARIKEI, April 11: Tindakan pantas pasukan bomba mengumpil jeriji kayu pagar di sebuah rumah berjaya menyelamatkan seorang kanak-kanak yang terkunci dalam bilik di sebuah rumah di Jalan Bangunan Kerajaan di sini hari ini.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei, Charles Kesler Upok berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 1.19 petang.

Katanya, sejurus menerima maklumat kejadian, tujuh anggota bomba telah dikerahkan ke lokasi untuk melakukan kerja-kerja menyelamat.


“Sebaik tiba, anggota bomba mendapati kanak-kanak terbabit masih terperangkap di dalam sebuah bilik.

“Berdasarkan keterangan penjaga itu, kanak-kanak tersebut dikatakan secara tidak sengaja mengunci pintu hadapan rumah ketika sedang bermain,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Charles menambah, pihaknya mengambil masa kira-kira 15 minit untuk membuka jeriji kayu sebelum berjaya menyelamatkan kanak-kanak terbabit.

Katanya, apabila pintu berjaya dibuka, pasukan bomba mendapati kanak-kanak berkenaan dalam keadaan selamat.

“Pasukan bomba kemudian menyerahkan kanak-kanak itu kepada penjaganya.

“Operasi tamat sepenuhnya 1.37 petang selepas kanak-kanak itu diserahkan kepada penjaga untuk tindakan lanjut,” katanya. — DayakDaily