Polis sedang mengesan pemandu, pemilik Proton Wira lawan arus di Pending

Tangkap layar dari video pada hari kejadian.

KUCHING, 15 Mei: Polis sedang mengesan kereta dan pemilik sebuah Proton Wira yang dikesan melawan arus di persimpangan lampu isyarat Jalan Pending, di sini.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata pihaknya telah menerima laporan berhubung kejadian selepas tular di media sosial rakaman video kejadian.

Katanya, rakaman tersebut menunjukkan pemandu Proton Wira tersebut melawan arus berhampiran Klinik Kesihatan Tanah Putih sehingga mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya yang lain.


“Pihak polis sedang mengesan pemandu dan pemilik kereta tersebut, sebarang maklumat berkenaan kejadian boleh disalurkan kepada pihak polis,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu secara melulu dan dengan cara merbahaya kepada orang awam.

Sebarang maklumat berhuhung kejadian boleh disalurkan terus kepada Pegawai Penyiasat Inspektor Angelina Henry Winner di talian 013-5670223. — DayakDaily