Ejen insuran wanita rugi RM50,700 oleh sindiket Macau Scam

PDRM logo

MIRI, 15 MEI: Seorang ejen insuran wanita di sini terpaksa menangung kerugian RM50,700 selepas menjadi mangsa penipuan sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai anggota polis.

Ketua Polis Daerah Miri, ACP Alexson Naga Chabu berkata, mangsa telah menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang menyamar sebagai pegawai polis dikenali sebagai ‘Sarjan Yeap’ dari IPK Perak lalu mendakwa mangsa ada terlibat kes penipuan di Kuala Lumpur.

“Suspek telah mengarahkan mangsa untuk memberikan semua nombor akaun dan jumlah wang yang terdapat dalam akaun simpanan, dan mangsa telah memberikan akaun yang telah gunakan serta jumlah yang terdapat dalam setiap akaun,” ujar Alexson.

Selepas itu, suspek telah menyerahkan kes kepada ‘Inspektor Yong’ dari Bukit Aman untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang kes. Tambahan itu, suspek telah memberitahu kepada mangsa supaya membuat rayuan kepada pegawai tersebut untuk siasatan terlebih dahulu sebelum pertuduhan dilakukan.

“‘Pegawai Yong’ telah mengarahkan mangsa untuk memindahkan wang daripada akaun banknya sejumlah wang ke dalam akaun yang diberikan,” jelas Alexson.

Sebanyak lima transaksi telah dilakukan melibatkan wang berjumlah RM50,700 telah dibuat oleh mangsa ke beberapa akaun bank yang diberikan oleh suspek secara berperingkat.

“Transaksi pertama dilakukan pada 3 April (2022) sehingga April 30,” Alexson berkata.

Katanya, mangsa hanya menyedari ditipu setelah melakukan transaksi terakhir dan satu laporan polis telah dibuat berhubung kejadian.

Kertas siasatan dibuka dibawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. — DayakDaily