Polis Sarawak rekodkan 60,000 saman tertunggak libatkan warga Brunei

Royal Malaysia Police logo

Oleh Dean Adam

KUCHING, Okt 23: Polis Sarawak sedang mengesan pesalah-pesalah trafik dari Brunei Darussalam ekoran lebih kurang 60,000 saman tertunggak melibatkan kenderaan pendaftaran Brunei direkodkan di negeri ini dari tahun 2008 hingga kini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt Alexson Naga Chabu berkata, polis akan melaksanakan Operasi Saman Tertunggak Warganegara Asing (OSTWA) bermula Oktober 26 hingga 28 ini.


Tegas beliau, operasi selama tiga hari itu akan dilakukan di kawasan laluan di sempadan Malaysia-Brunei iaitu dua arah laluan tol Sungai Tujuh Miri ke Brunei Darussalam.

“Operasi yang dijalankan ini bertujuan untuk memastikan pesalah trafik warga Brunei menjelaskan saman tertunggak sebelum meninggalkan negara ini.

“Ia juga boleh memberi kesedaran kepada warga Brunei untuk mematuhi undang-undang trafik dan mencegah kemalangan berlaku melibatkan warga asing,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Alexson memberitahu, pesalah trafik warga Brunei dinasihatkan untuk membuat semakan awal rekod saman tertunggak kenderaan masing-masing di balai polis di semua daerah di Sarawak. ā€” DayakDaily