Polis Sarawak lancar 1,426 operasi memerangi judi loteri haram

Denis (duduk tengah) melakukan perbincangan dengan wakil syarikat nombor loteri sah.
Advertisement

Oleh Dean Adam

KUCHING, Nov 10: Polis Sarawak telah melancarkan sebanyak 1,426 operasi dalam usaha memerangi aktiviti perjudian nombor loteri haram di seluruh negeri setakat ini.

Daripada keseluruhan operasi itu, 1,383 serbuan telah berjaya dilakukan dengan penahanan 1,553 individu yang disyaki terlibat dalam jenayah tersebut.

Advertisement

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, SAC Denis Leong Soon Kuai, berkata menerusi kesemua operasi tersebut, polis juga berjaya merampas wang tunai berjumlah RM539,167 dipercayai hasil daripada jenayah itu.

Jelasnya, sebanyak 341 operasi telah dilakukan di Kuching, 293 (Miri), 202 (Padawan), 107 (Sibu), 65 (Bintulu), 56 (Kota Samarahan), 51 (Bau), 48 (Sarikei) dan 44 (Serian).

“Selain itu, polis juga melakukan 30 operasi di Sri Aman, 26 (Limbang), 20 (Mukah), 16  (Meradong), 15 (Song), 14 (Marudi) 12 (Kanowit), 11 (Dalat), 10 (Lubuk Antu), 10  (Lawas)10 (Kapit), 9 (Betong) 9 (Simunjan), 9 (Saratok), 8 (Julau) 4 (Matu-Daro), 3 (Lundu), 2 (Tatau) dan 1 (Belaga),” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan operator perjudian sah iaitu Magnum, Sports Toto dan Cash Sweep di sini semalam.

Denis menambah, satu talian hotline iaitu 082-274213 juga telah dibuka bagi memudahkan orang awam melaporkan kegiatan perjudian haram kepada pihak polis.

Katanya, setakat ini, sebanyak 1,209 maklumat telah diterima dengan 975 serbuan telah dilakukan susulan maklumat berkenaan.

“Polis juga akan terus bekerjasama dengan pihak Sarawak Energy Bhd bagi memotong bekalan elektrik di premis perjudian bagi memastikan operator perjudian terbabit tidak beroperasi semula.

“Sehingga kini, sebanyak 159 premis menjual nombor loteri haram di seluruh negeri telah dipotong bekalan elektrik,” katanya. — DayakDaily

Advertisement