Polis Sarawak kesan modus operandi baharu operator judi haram

Premis yang diubahsuai untuk melakukan aktiviti perjudian haram.

Oleh Dean Adam

KUCHING, Nov 20: Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak mengesan modus operandi baharu yang digunakan oleh para operator perjudian haram di negeri ini.

Ketua JSJ Sarawak, Sac. Denis Leong Soon Kuai berkata, berdasarkan serbuan memerangi aktiviti penjualan loteri haram minggu lepas, polis mendapati pengendali perjudian telah membuat ‘bilik’ rahsia di dalam premis perniagaan mereka.

Katanya, di bahagian depan kedai tersebut seolah-olah menggambarkan mereka menjalankan perniagaan yang tidak menyalahi undang-undang.

“Bagaimanapun, di tengah premis berkenaan terdapat ‘bilik’ rahsia untuk mereka menjalankan aktiviti perjudian haram.

“Pengendali perjudian itu juga telah memasang rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di penjuru premis untuk memudahkan memantau kehadiran pihak polis,” katanya di sini hari ini.

Leong menambah, pihaknya juga mengesan pengendali perjudian haram telah memindahkan operasi mereka ke kawasan perumahan serta zon perindustrian untuk mengelak daripada dikesan oleh polis.

Bagaimanapun, pihak polis tetap berjaya menjejaki mereka hasil maklumat awam dan hasil risikan yang dilakukan.

“Berdasarkan rekod, sejak Januari 1 hingga November 18 lepas, polis telah melakukan 2,208 serbuan melibatkan premis perjudian haram.

“Hasilnya, polis berjaya menahan 2,993 individu dan merampas wang tunai sebanyak RM802,388,” ujar beliau. — DayakDaily