Pembantu kesihatan awam maut, kenderaan dipandu rempuh rumah

Keadaan rumah yang roboh akibat dirempuh sebuah Toyota Wish.

Oleh Dean Adam

LUNDU, Nov 20: Seorang lelaki yang bertugas sebagai pembantu kesihatan awam maut selepas kenderaan yang dipandu terbabas lalu merempuh sebuah rumah di Jalan Biawak-Lundu di sini malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 malam itu, mangsa, Lim Han Lieh, 36, disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan akibat kecederaan yang dialaminya.


Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt Alexson Naga Chabu berkata, sebelum kejadian mangsa dikatakan sedang dalam perjalanan pulang ke Lundu dari tempat kerjanya di Biawak di sini.

Bagaimanapun katanya, sebaik tiba di lokasi kemalangan, kenderaan jenis Toyota Wish yang dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terbabas sebelum merempuh sebuah rumah di bahu jalan berkenaan.

“Impak kemalangan itu mengakibatkan bahagian luar rumah berkenaan roboh, manakala depan Toyota Wish tersebut remuk.

“Penghuni rumah tersebut bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan, namun mangsa mengalami kecederaan parah,” katanya di sini hari ini.

Alexson menambah, mangsa kemudian dibawa ke Hospital Lundu sebelum disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan.

Katanya, pihak polis sudah merakamkan gambar di tempat kejadian untuk siasatan lanjut.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya. — DayakDaily