Polis rampas bir dan rokok tidak dicukai bernilai RM405,000 di Batu Niah

longgokan kotak minuman keras tanpa cukai dirampas.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 8 Nov: Polis Miri merampas 497 kotak rokok tidak sah dan 984 tin bir dalam serbuan lokasi berasingan di sekitar Batu Niah semalam dengan nilai rampasan RM405,000.

Menurut Ketua Polis Daerah Miri ACP Lim Meng Seah, turut ditahan dalam serbuan berkenaan ialah lima lelaki berusia antara 26 hingga 44 tahun dipercayai penjaga kedua-dua premis kedai.


“Serbuan dilakukan sekitar jam 11.30 dan 11.35 pagi itu. Polis turut merampas wang tunai berjumlah RM860,” ujar Lim.

Suspek yang disyaki penjaga premis kedai ditahan pihak polis untuk siasatan lanjut.

Serbuan di lokasi pertama diketuai Inspektor Erwin Geoffry Ussan dilakukan atas sebuah premis kedai di Simpang Ngu, Niah, manakala ASP Unang Giang mengetuai serbuan kedua di Pekan Batu Niah.

Barangan yang dirampas itu disyaki tidak bercukai.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana memiliki barang tanpa kelulusan daripada Jabatan Kastam. — DayakDaily