Polis patahkan aktiviti pengedaran dan penagihan dadah di kawasan Tinjar Baram

Suspek telah ditahan, turut dirampas dadah jenis syabu bernilai RM370.

Oleh Brad Rantayy

MARUDI, 20 Mei: Perbuatan seorang lelaki warga emas yang bukan sahaja terlibat dalam aktiviti penagihan dadah malah turut menjual ‘barangan terlarang’ itu ke rumah-rumah panjang berdekatan di Lapok Tinjar Baram membawa padah apabila dia ditahan polis untuk siasatan lanjut pada Khamis.

Semasa ditangkap sekitar jam 9.30 malam pada Khamis, polis menemukan dadah jenis syabu bernilai RM370 dengan berat 3.70 gram, selepas menahan suspek di tepi jalan Beluru-Long Teru ,Lapok Tinjar ,Baram pada malam kelmarin (19 Mei).


Ketua Polis Daerah Marudi DSP Mohd Ruslan Mat Kib berkata, suspek warga tempatan berusia 51 tahun itu ditahan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Marudi sekitar jam 9.30 malam dalam satu serbuan di kawasan tersebut.

“Hasil pemeriksaan terhadap suspek, pihak polis telah menemui dan merampas barang kes berupa satu bungkusan plastik lutsinar berisi dua paket plastik lutsinar, masing-masing berisi ketulan-ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu,” ujarnya.

Siasatan awal mendapati ,suspek terlibat dalam aktiviti penagihan dadah sejak 2019.

Kes disiasat di bawah seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Suspek kemudian ditahan di Balai Polis Marudi dan direman untuk membantu siasatan polis. — DayakDaily