Polis Padawan tangkap dua ejen loteri haram dan judi atas talian

Pemeriksaan dilakukan ke atas sebuah premis di Jalan Matang, Kuching.

KUCHING, 12 Nov: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan menangkap dua individu termasuk seorang wanita dipercayai ejen menjual loteri awam tanpa lesen dan tambah nilai judi online semalam.

Menurut Ketua Polis Daerah Padawan Supt Aidil Bolhassan, kedua-dua suspek berusia 19 dan 23 tahun beralamatkan dari Lubok Antu dan Kapit.

Aidil memberitahu semasa serbuan dilakukan, kedua-dua suspek mengaku bekerja sebagai ejen loteri haram dan judi siber.


“Serbuan dilakukan ke atas sebuah kedai runcit dan sebuah kedai makan di Jalan Matang iaitu dari jam 1.30 hingga 5 petang, di mana kedua-dua suspek disyaki terlibat kegiatan perjudian loteri haram dan judi online,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kedua-dua suspek kemudian ditahan di bawah Seksyen 4(1)(c) dan 4A(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

“Turut dirampas ialah wang tunai, telefon bimbit serta beberapa peralatan yang disyaki digunakan dalam kegiatan perjudian tersebut,” kata Aidil. — DayakDaily