Polis Padawan cekup lelaki disyaki terlibat aktiviti penyalahgunaan dadah

Dadah yang dirampas daripada suspek.

Oleh Dean Adam

PADAWAN, Mac 2: Seorang lelaki tempatan diberkas selepas disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah menerusi satu serbuan di sebuah kedai alat telekomunikasi di Jalan Stakan Batu di sini kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Padawan, DSP Merbin Lisa, berkata suspek berusia 25 tahun itu ditahan oleh sepasukan polis dari BSJND Padawan pada pukul 4.18 petang.

Katanya, hasil pemeriksaan telah menjumpai satu paket plastik lutsinar sederhana besar yang di dalamnya mengandungi lima plastik lutsinar kecil berisi ketulan-ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu seberat 6.0 gram.

“Dadah itu ditemui dari poket hadapan sebelah kanan seluar panjang yang dipakai suspek.

“Suspek kemudian dibawa ke Pejabat BSJND Padawan untuk tindakan selanjutnya,” katanya di sini hari ini.

DSP Merbin Lisa

Merbin menambah, hasil saringan awal air kencing juga mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.

“Kes ini disiasat di bawah 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujarnya lagi. — DayakDaily