Tiga rumah terjejas akibat kebakaran di Kampung Nusa Jaya

Pasukan bomba sedang berusaha memadam kebakaran.

Oleh Dean Adam

SIBU, Mac 2: Sebuah rumah musnah terbakar, manakala dua buah lagi masing-masing terjejas 30 dan 20 peratus dalam satu kejadian kebakaran di Kampung Nusa Jaya di sini hari ini.

Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira pukul 8.10 pagi itu, tiada laporan kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan berlaku.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu pada pukul 8.14 pagi.

Jelasnya, sepasukan tujuh anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu dan enam anggota dari BBP Sungai Merah telah bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan operasi memadam kebakaran.


Pasukan bomba sedang berusaha memadam kebakaran.

“Apabila tiba, pasukan bomba mendapati api sedang marak membakar sebuah rumah dua  tingkat jenis kayu di situ.

“Kepantasan pasukan bomba mengawal kebakaran itu bekerja mengelak lebih banyak rumah yang terjejas akibat kebakaran,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap sama menambah, kebakaran itu berjaya dikawal dan tamat pada pukul 9.41 pagi

“Punca kebakaran dan jumlah kerugian akibat kejadian itu masih lagi dalam proses siasatan,” katanya. — DayakDaily