Polis Miri tahan warganegara asing kerana mengugut bekas rakan wanita

Suspek (dua dari kiri) ditangkap JSJ Miri pagi ini (15 Sept 2020).

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 15 Sept: Gara-gara mengeluarkan kata-kata kesat dan simbol ugutan tangan terhadap bekas rakan wanitanya, seorang warga Pakistan telah ditangkap pihak polis untuk siasatan.

Lelaki berkenaan berusia 62 tahun telah ditahan selepas mangsa membuat satu laporan polis selepas suspek datang ke tempat kerjanya di Luak kelmarin, mengugut agar mangsa memulangkan wang yang didakwa pernah dipinjamkan kepada mangsa berjumlah RM10,000.


Susulan kejadian itu, mangsa seorang janda berusia 26 tahun segera membuat laporan polis.

Bertindak dari laporan berkenaan, sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Miri telah melakukan tangkapan pagi ini sekitar jam 11 pagi berhadapan sebuah kedai makan di Jalan Maju.

Siasatan awal mendapati suspek dan mangsa telah berkawan selama lima tahun.

Sepanjang perkenalan itu, suspek dipercayai telah memberi sejumlah wang kepada mangsa, namun selepas hubungan mereka menjadi renggang, suspek telah cuba menuntut kembali wang tersebut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 509 dan 506 Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kata-kata kesat dan ugutan.

Suspek kini ditahan di lokap Balai Polis Pusat Miri untuk siasatan lanjut. — DayakDaily