PM: PKPD akan dilaksanakan jika kes-kes baharu Covid-19 terus meningkat


KUCHING, 14 September: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini memberi amaran bahawa kerajaan akan terpaksa melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan-kawasan jika kes-kes baharu Covid-19 terus mengningkat.

“Justeru, saya ingin mengingatkan saudara dan saudari supaya terus berwaspada. Jangan leka. Peraturan-peraturan berkaitan kuarantin, pemakaian penutup hidung dan mulut dan pematuhan kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) masih berkuatkuasa. Saudara dan saudari mesti terus berdisiplin dan patuh kepada peraturan. Ini penting supaya kita dapat mengawal penularan wabak Covid-19. 

“Kerajaan tidak teragak-agak untuk melaksanakan PKPD di kawasan-kawasan yang mencatatkan kes-kes baharu Covid-19 yang tinggi,” kata Muhyiddin ketika bercucap mengenai situasi semasa jangkitan Covid-19 yang disiarkan secara langsung oleh RTM sebentar tadi. 


Beliau juga mengingatkan bahawa sekiranya kes-kes Covid-19 meningkat dengan mendadak dan PKP terpaksa dilaksanakan semula, ia tentunya akan membawa keburukan kepada ekonomi negara. 

“Kita tidak boleh ke mana-mana dan tinggal di rumah sahaja seperti yang sedang dikuat kuasakan di Kota Setar, Kedah pada masa ini. Justeru, saya berharap kita semua akan terus cekal, tabah dan berdisiplin dalam menghadapi penularan wabak Covid-19. Ingatkan diri kita supaya terus membudayakan amalan norma-norma baharu kehidupan. Selain tindakan-tindakan yang diambil oleh kerajaan, amalan norma baharu kehidupan oleh saudara dan saudari sekalian adalah faktor yang amat penting dalam usaha kita untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19. 

Tambah beliau lagi, sehingga 15 September 2020, jumlah keseluruhan kes positif Covid- 19 di Malaysia adalah seramai 9,969 orang. Daripada jumlah ini 9,209 kes telah sembuh dan discaj daripada wad, menjadikan kadar kesembuhan sebanyak 92.4 peratus; 128kes telah dilaporkan meninggal dunia, menjadikan kadar kematian sebanyak 1.28 peratus; dan 1,395,578 individu telah disampel, menjadikan kadar ujian Covid- 19 yang dijalankan di Malaysia adalah 41.8 orang bagi setiap 1,000 penduduk.

“Secara keseluruhannya terdapat 108 kluster yang telah dilaporkan kepada Crisis Preparedness and Response Centre atau CPRC Kebangsaan. Daripada jumlah ini 11 kluster masih aktif manakala baki 97 kluster telah diisytiharkan tamat. 

“Sehingga kini, Kluster Seri Petaling yang telah diisytiharkan tamat pada 8 Julai 2020 merupakan kluster terbesar jangkitan Covid-19 di negara ini. Kluster ini telah merekodkan sejumlah 3,375 kes positif selepas seramai 42,023 individu disaring,” kata beliau.

Tambah beliau, walaupun setakat negra telah berjaya menangani penularan wabak Covid-19 dengan baik, beliau berasa bimbang kerana terdapat peningkatan jumlah kes positif Covid-19 yang agak ketara sejak kebelakangan ini. 

“Sepanjang tempoh 14 hari yang lalu, sebanyak 615 kes baharu telah dicatatkan. Peningkatan ini turut menyaksikan tiga buah daerah yang merekodkan 41 kes atau lebih sepanjang tempoh 14 hari yang lepas. Daerah-daerah yang dikategorikan sebagai merah ini ialah Kota Setar di Kedah dan Tawau serta Lahad Datu di Sabah,” kata beliau.

Pada masa yang sama, jumlah keseluruhan pelawat dari luar negara yang dikesan positif Covid-19 sepanjang tempoh 3 April-15 September 2020 adalah seramai 1,017 orang. 

“Buat masa ini, berdasarkan dapatan yang diperolehi oleh para penyelidik dari seluruh dunia dan tren kes yang dilaporkan, pandemik Covid-19 dilihat masih menular secara aktif dan dijangka akan berterusan untuk suatu tempoh masa yang agak lama. Ini mengambilkira faktor pencegahan dan kawalan penularan jangkitan Covid-19 secara berkesan yang memerlukan kewujudan rawatan spesifik dan vaksin yang efektif serta selamat untuk digunakan. Dengan situasi ini, sesiapa sahaja mungkin terdedah kepada risiko jangkitan Covid-19 pada ketika ini,” jelas beliau. 

Sementara itu, Perdana Menteri menasihatkan penduduk Sabah yang sedang menghadapi Pilihanraya Negeri supaya sentiasa mengamalkan norma-norma baharu kehidupan dengan lebih berdisiplin. 

“Kepada petugas-petugas pilihanraya, pastikan semua aktiviti kempen dijalankan mengikut SOP yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara. 

“Dalam keadaan biasa, semasa musim pilihanraya ini ramai yang akan berkumpul dan bersalaman. Nasihat saya elakkanlah sebarang perkumpulan di tempat yang sesak dan sempit. Elakkan juga bersalaman dengan pengundi. Saya fikir para pengundi pun faham kalau mereka yang turun berkempen tidak menghulurkan tangan untuk bersalaman. Yang penting kita saling melindungi antara satu sama lain supaya tidak terkena jangkitan Covid-19. Kita jaga kita bah,” tambah beliau.