Polis Miri tahan wanita disyaki curi barangan bernilai RM31.90

Barangan yang disyaki telah dicuri suspek yang dirampas polis.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 18 Jan: Seorang wanita berusia 29 tahun ditahan polis petang semalam selepas disyaki melarikan beberapa barangan makanan dari sebuah kedai runcit di Jalan Lee Tak.

Tangkapan dilakukan oleh sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Miri sekitar jam 4.20 petang sebaik sahaja menerima laporan kejadian.


Menurut Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari, wanita tempatan itu ditangkap di kaki lima kedai makan 24 jam di Jalan Bongor.

Turut dirampas beberapa barangan disyaki telah dicuri suspek dari kedai runcit berkenaan bernilai RM31.90.

Antara barangan yang dirampas ialah satu kotak susu jenama Ensure Gold (400g), satu botol madu asli (Minibee berat 350g), sekotak Nestle Just Milk full cream (1 liter) dan satu bekas makanan plastik jenama ‘Huggies).

“Suspek mengaku telah masuk ke dalam kedai runcit tersebut dan menggambil barang-barang minuman untuk diminum sendiri dan tiada duit untuk membayar,” ujar Hakemal.

Dalam kejadian sekitar jam 3 petang itu, suspek dilihat telah mengambil beberapa barangan makanan di dalam kedai runcit terbabit dan melarikan diri dengan tidak membuat apa-apa pembayaran.

Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri. — DayakDaily