Jalan di lokasi tanah runtuh di Kampung Grogo tutup sepenuhnya

Kerja-kerja penstabilan struktur sedang dilakukan di lokasi jalan tanah runtuh di Kampung Grogo, Bau.

KUCHING, 18 Jan: Adun Tasik Biru Datuk Henry Harry Jinep memaklumkan bahawa jalan di lokasi tanah runtuh di Kampung Grogo di Bau ditutup sepenuhnya.

Menerusi catatan di Facebook beliau hari ini, Henry berkata, ia untuk memudahkan kerja-kerja pembaikan di lakukan oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Menurut pihak JKR, struktur tebingan tanah yang di tembok sekarang tidak stabil.


“Pergerakan jentera berat harus berhati hati supaya tidak memudaratkan lagi struktur yang lain,” katanya.

Tambah Henry, kemungkinan kerja-kerja pembaikan akan siap pada jam 3 petang ini.

Justeru beliau menasihatkan kenderaan yang ingin menuju ke Pekan Bau atau sebaliknya boleh menggunakan jalan Bau Lama dari arah Jalan Stephen Yong. — DayakDaily