Polis Miri tahan suspek kes pecah kedai dalam serbuan awal pagi

Suspek (tiga dari kiri) kini sedang ditahan di dalam lokap Balai Polis Pusat Miri untuk siasatan lanjut.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 11 Nov: Seorang lelaki warga tempatan dipercayai terbabit dalam kes pecah kedai menjual barangan plastik di sini pada 7 November lalu berjaya ditahan awal pagi tadi.

Tangkapan dilakukan sekitar jam 12.30 pagi oleh sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (IPD) Miri dalam satu serbuan di sebuah rumah di Sungai Baong, Jalan Malva, dekat Jalan Krokop.

Suspek berusia 46 tahun yang turut mempunyai empat rekod jenayah itu kini sedang ditahan di dalam lokap Balai Polis Pusat Miri untuk siasatan lanjut.

Dalam kejadian yang dilaporkan berlaku pada 7 November lalu, sebuah kedai menjual barangan plastik di Jalan Melayu telah dipecah masuk pencuri.


Beberapa barangan di dalam premis tersebut termasuk 25 unit deodoran jenama Casablanca dan lima unit sabun mandi jenama Harmoni dan Corex serta unit hand sanitizer hilang dipercayai dicuri dalam kejadian yang disedari sekitar jam 7.30 pagi oleh pekerja kedai.

Turut dilaporkan hilang ialah sebuah telefon bimbit kedai warna hitam jenama Gomex, 25 unit pisau jenama Jaya Mata, 12 unit pencuci muka jenama Biore dan 12 tin air Nescafe.

Jumlah kerugian dianggarkan sebanyak RM1,196.90.

Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah kedai. — DayakDaily