Polis Miri tahan 9 lelaki disyaki terlibat dalam pergaduhan di Marina Square

Antara suspek yang ditahan untuk membantu siasatan polis. Dua lagi suspek (termasuk mangsa) berada dalam bilik siasatan.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 1 Nov: Gara-gara bergaduh kerana hutang, sembilan lelaki tempatan termasuk mangsa serangan ditahan polis untuk membantu siasatan awal pagi ini.

Video insiden pergaduhan itu berdurasi 22 saat yang berlaku di depan sebuah bistro di Marina Square awal pagi ini telah tular di media sosial dan memaparkan seorang lelaki dibelasah beberapa suspek.

Siasatan mendapati mangsa dan beberapa suspek berusia antara 26 sehingga 29 tahun itu bergaduh di depan bistro berkenaan dipercayai berpunca dari duit hutang yang dipinjam mangsa belum dibayar kepada salah seorang suspek.

Kejadian berlaku kira-kira jam 12.45 pagi ini.

Mangsa mengalami kecederaan di bahagian muka dan badan akibat diserang dalam kejadian.

Kesemua suspek ditahan ketika datang ke Balai Polis Pusat Miri untuk membantu siasatan lanjut.

Turut dirampas ialah sebilah pedang berukuran 53 sentimeter dan sebatang kayu juga berukuran 53 sentimeter panjang.

Kes disiasat mengikut Sekyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh. — DayakDaily