Covid-19: 957 kes positif baharu dengan 972 pulih

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

Nota editor: Pembetulan ke atas angka keseluruhan kes baru telah buat. Segala kesulitan amat dikesali.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 1 Nov: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan bahawa terdapat 957 kes baharu positif Covid-19 dilaporkan hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kesemua 957 kes adalah penularan tempatan.

“Kes positif terkini itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif adalah sebanyak 32,505 kes.

“Dengan itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah sebanyak 10,036 kes,” katanya pada satu sidang media di Putrajaya hari ini.

Sabah kekal mencatatkan jumlah tertinggi kes positif harian dengan 644 kes diikuti Selangor (225), Pulau Pinang (23), Labuan (18), Terengganu (15), Sarawak (11), Negeri Sembilan (8), Perak (5), Kuala Lumpur (4) selain Kedah, Melaka, Johor dan Putrajaya masing-masing mencatat satu kes.

Tambah Dr Noor Hisham, tiada kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian kekal 249.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan sebanyak 972 kes pulih dan dibenarkan discaj menjadikan jumlah kumulatif kes pulih adalah 22,220 kes atau 68.36 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Sehingga kini, terdapat 97 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 27 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan terdapat dua kluster baharu dilaporkan hari ini iaitu Kluster Usaha di Selangor dan Kluster Tembaga di Pulau Pinang.

Ujar Dr Noor Hisham, setakat ini jumlah kes positif dalam kedua-dua kluster ini adalah sebanyak 52 kes. — DayakDaily