Oleh Brad Rantayy
MIRI, 9 Feb: Kurang 24 jam selepas kejadian seorang lelaki berusia 22 tahun dibelasah teruk sekumpulan lelaki di sebuah ladang kelapa sawit di Ladang 3 pada petang Ahad (Feb 7), polis menahan lima suspek disyaki terlibat dalam kejadian serangan itu.
Penahanan lima suspek warga tempatan ini dibuat sekitar jam 10 pagi pada Selasa (9 Feb) di perkarangan Balai Polis Pusat Miri oleh anggota Jabatan Siasatan Jenayah Miri (JSJ).
Usaha kini sedang giat dijalankan untuk mengesan seorang lagi suspek, jelas Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari.
Kelima-lima suspek berusia antara 24 hingga 43 tahun itu kini sedang ditahan di lokap Balai Polis Pusat Miri untuk membantu siasatan lanjut.
Sejak awal pagi Isnin, tular sebuah klip video memaparkan mangsa sedang dibelasah oleh beberapa lelaki dipercayai pengawal keselamatan sebuah ladang kelapa sawit.
Klip berdurasi sepanjang satu minit 26 saat itu, memaparkan seorang lelaki dibelasah beberapa lelaki berdekatan pondok pengawal ladang tersebut menjadi tular sejak awal pagi Isnin.
Difahamkan, kejadian berlaku sekitar jam 2 petang pada Ahad.
Susulan kejadian, mangsa berusia 22 tahun itu mengalami kecederaan pada bahagian badan dan kepala.
Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera dengan jalan menggunakan senjata atau lain-lajn benda yang merbahaya dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah. — DayakDaily