Pembukaan pintu masuk negeri masih belum sesuai ketika ini, kata Karim


Oleh Chris Bishop

KUCHING, 9 Feb: Pembukaan pintu masuk negeri kepada warga luar termasuk dari Sabah dan Semenanjung Malaysia adalah tidak sesuai pada
masa sekarang, kata Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.

Katanya ia disebabkan kes positif Covid-19 samada di Sarawak atau di Semenanjung Malaysia masih meningkat dengan jumlah keseluruhan
mencecah empat angka.


“Justeru, untuk membuka pintu masuk negeri adalah tidak sesuai pada masa sekarang. Kalau dibuka pun, saya fikir pelancong dari luar
seperti China dan Singapura tidak akan datang.

“Ini adalah kerana mereka akan dikuarantin selain menghadapi sekatan lain dan ini tidak memungkinkan mereka untuk melancong,” katanya.

Karim berkata demikian pada sidang media selesai Program BeliaPrihatin 2021 yang diadakan di Bangunan Baitulmakmur 2 di sini hari
ini.

Beliau mengulas berhubung cadangan bekas menteri Barisan Nasional(BN) dari Sabah agar semua pintu masuk dibuka untuk membantu industri pelancongan.

Pada sidang media yang sama, Karim yang juga Menteri Belia dan Sukan menyambut baik cadangan Timbalan Ketua Menteri Sabah agar para wakil rakyat terlebih dahulu menerima suntikan vaksin Covid-19.

Namun katanya, ia terpulang kepada pihak yang melaksanakan pemberian vaksin tersebut di mana telah dijelaskan bahawa petugas barisan hadapan akan diberi suntikan dahulu.

“Bagi saya ia terpulang kepada mereka yang menguruskannya, kalau di Sarawak suntikan akan terlebih dahulu diberikan kepada petugas barisan hadapan mulai penghujung bulan Februari ini.

“Ia satu cadangan yang baik kerana wakil rakyat sering berjumpa dengan rakyat. Saya bersedia untuk menjadi wakil rakyat pertama yang mendapat suntikan,” ujar Karim.

Dalam pada itu, sebanyak 12 pertubuhan kebajikan dan 8 sekolah berasrama menerima sumbangan geran dengan jumlah keseluruhan RM200,000 pada majlis itu.

Turut hadir Menteri Muda Belia dan Sukan Datuk Snowdan Lawan dan Pemangku Setiausaha Tetap Kementerian Belia dan Sukan Nancy
Jolhi.- DayakDaily