Polis Miri selesai kes curi motosikal dalam sehari, dua suspek ditahan

Kedua-dua suspek dicekup dan kini sedang ditahan di Balai Polis Pusat Miri untuk siasatan lanjut.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 23 Sept: Hasrat seorang suspek menikmati hasil jualan motorsikal yang dicurinya tidak kesampaian selepas dia ditangkap pihak polis semalam di Pujut Adong.

Lelaki berusia 27 tahun itu telah dicekup anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Miri (JSJ) di tepi jalan Pujut Adong sekitar jam 7 malam.

Terdahulu, suspek telah menjual motorsikal yang dipercayai dicuri itu kepada seorang warga Indonesia di Pujut Adong dengan harga RM400.

Menurut siasatan lanjut, motorsikal Honda Wave berwarna hitam itu dilaporkan telah dicuri di Krokop, awal pagi semalam sekitar jam 5.

Hasil siasatan lanjut, suspek telah memandu arah pihak polis ke lokasi tempat dia menjual motorsikal tersebut.

Di dalam sebuah rumah di Pujut Adong, polis telah menahan warga asing yang membeli motosikal curi itu dari suspek pertama tadi.

Kedua-dua suspek kini sedang ditahan pihak polis untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379A kerana mencuri kenderaan dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 kerana kesalahan permit tamat tempoh. — DayakDaily