Muhyiddin ajak rakyat tolak ahli politik yang sengaja jejas kestabilan negara

Tan Sri Muhyiddin Yassin. (photo sourced from https://www.facebook.com/ts.muhyiddin/)

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 23 SEPT: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengajak rakyat menolak tindakan segelintir ahli politik yang sengaja mahu menjejaskan kestabilan politik negara.

Katanya, golongan itu juga sengaja mahu menjejaskan pelan pemulihan ekonomi negara yang sedang dilaksanakan dengan baik pada masa ini.

“Apa yang kita perlu adalah sebuah kerajaan yang stabil dan teguh dengan sokongan rakyat, supaya lebih banyak inisiatif memulihkan ekonomi dan membantu rakyat dapat dilaksanakan dengan berkesan.

“Saya ingin mengajak saudara dan saudari sekalian supaya bersama-sama dengan saya dan rakan-rakan dalam Kerajaan Perikatan Nasional untuk mengemudi negara dalam keadaan kita masih berhadapan dengan krisis ekonomi dan kesihatan pada masa ini,” katanya pada pengumuman khas Kerangka Inisiatif Tambahan Khas (KITA PRIHATIN) hari ini.


Menurut Muhyiddin, pengumuman yang dibuat hari ini menandakan Kerajaan Perikatan Nasional(PN) mendengar rintihan rakyat keseluruhannya.

Jelas beliau, kerajaan PN cuba sedaya upaya untuk membantu rakyat menghadapi detik yang sukar kesan pandemik Covid-19.

Inisiatif khas di bawah KITA PRIHATIN yang diumumkan Muhyiddin hari ini melibatkan perbelanjaan Kerajaan sebanyak RM10 bilion.

Selain bayaran tunai Bantuan Prihatin Nasional(BPN) 2.0 dengan peruntukkan RM7 bilion, ia juga merangkumi Program Subsidi Upah 2.0 dengan peruntukkan RM2.4 bilion dan inisiatif Geran Khas PRIHATIN berjumlah RM600 juta. — DayakDaily