Polis Miri menyerbu sarang dadah, tahan 32 suspek

Kelihatan suspek yang dicekup polis Miri dalam satu serbuan ke atas sebuah rumah bengkel disyaki sarang penagihan dadah di Jalan Padang Kerbau.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 12 Ogos: Polis mencekup seramai 32 lelaki dalam satu serbuan ke atas sebuah rumah bengkel disyaki sarang penagihan dadah di Jalan Padang Kerbau di sini petang semalam dan merampas sejumlah dadah dipercayai syabu seberat 13.41gm bernilai RM1,950.

Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner (ACP) Lim Meng Seah, berkata, operasi yang dinamakan Ops Sarang itu bermula jam 4 petang dan berakhir satu jam kemudian menfokuskan atas port tumpuan kumpulan penagih melepaskan gian di sini.


“Ops tersebut dilakukan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) bersama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) IPD Miri sekitar jam 4 hingga 5.40 petang dan berjaya menangkap kesemua suspek yang berada di dalam rumah berkenaan,” ujar Lim.

Daripada 32 suspek yang ditangkap, seramai empat suspek lelaki disyaki memiliki dadah dan 28 lelaki disyaki terlibat dengan kegiatan penyalahgunaan dadah, katanya.

“Hasil saringan awal ujian air kencing yang dijalankan didapati seramai 27 suspek positif dadah termasuk empat kes tangkapan memiliki,” kata Lim.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 39A (1), Seksyen 12 (2) dan Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952. — DayakDaily