Cubaan seludup barangan kawalan bersubsidi di Serian gagal

Barangan dengan nilai keseluruhan RM874.70 yang dirampas di Serian.

KUCHING, 12 Ogos: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) semalam merampas barangan kawalan bersubsidi yang disyaki untuk diseludup di Serian.

Barangan dengan nilai keseluruhan RM874.70 itu dirampas sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian pada satu operasi.

“Pada 11 Ogos 2020 lebih kurang jam 2.30 petang, KPDNHEP Sarawak telah menerima satu kes serahan daripada IPD Serian.


“Dalam operasi tersebut, pihak polis telah menyita untuk siasatan barangan yang disyaki untuk diseludup,” menurut KPDNHEP menerusi satu kenyataan hari ini.

Barangan yang disita ialah 84 paket gula pasir 1kg, 51 paket minyak masak 1kg, 18 botol minyak masak 2kg dan 200 liter petrol.

Kes disiasat di bawah Seksyen 21, Akta Kawalan Bekalan 1961. — DayakDaily