Polis Miri menahan lelaki disyaki cuba mencederakan ibunya

Suspek dibawa ke balai polis pusat Miri untuk siasatan lanjut.
Advertisement

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 14 Dis: Seorang lelaki warga emas ditahan selepas disyaki cuba mencederakan ibu kandungnya menggunakan penyedok tanah jenis besi dalam kejadian di sebuah rumah di Jalan 3B Piasau Utara, malam semalam (13 Dis).

Lelaki berusia 63 tahun itu ditahan, jam 8.20 malam di rumah yang sama selepas adiknya berusia 52 tahun membuat laporan polis.

Advertisement

Timbalan Ketua Polis Daerah Miri Supt Mohd Sabri Zainol, berkata suspek sebelum itu dikatakan mengamuk dan cuba mencederakan ibunya yang berusia 80 tahun.

Kejadian berlaku sekitar jam 2.20 petang Ahad.

Bertindak atas laporan polis dibuat, sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Miri (JSJ) telah melakukan serbuan ke atas rumah berkenaan.

Namun, suspek bertindak agresif dan tidak memberi kerjasama apabila pihak polis tiba di lokasi.

“Suspek berada di dalam rumah dan mengunci pintu, pihak polis telah memujuk suspek supaya membuka pintu dan menyerah diri, namun suspek enggan malah telah menyuruh anggota polia balik dan mengugut mahu menyiram air panas ke arah pihal JSJ,” ujar Sabri ketika dihubungi.

Beliau menambah, pihak polis berjaya membuka pintu di bahagian dapur dan semasa tangkapan hendak dibuat, suspek yang berada di bahagian dapur telah menyimbah air panas ke arah anggota polia sebanyak empat kali menggunakan cawan ‘stainless steel’.

“Suspek mencedok air panas itu dari kuali di atas dapur gas dan menyimbah ke arah anggota JSJ,” kata Sabri.

Disebabkan suspek bertindak agresif, pihak polis terpaksa melepaskan satu das tembakan senjata ‘taser gun’ dan kemudiannya suspek berjaya ditangkap.

Turut dirampas dalam kejadian ialah sebatang penyedok tanah jenis besi, satu cawan ‘stainless steel’ dan sebuah kuali.

Difahamkan, kejadian berlaku semasa pengadu (adik suspek) berada di rumah, suspek secara tiba-tiba telah mengamuk dengan mengambil sebatang penyedok tanah jenis besi dan cuba untuk memukul ibunya, namun pengadu dan adik beradik yang lain telah meneriak kepada suspek supaya menghentikan perbuatan tersebut.

“Suspek juga dipercayai ada berkata ingin membunuh salah satu ahli keluarga pengadu,” ujar Sabri.

Punca kejadian masih dalam siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah. — DayakDaily

Advertisement