Lelaki guna serampang sampah untuk mengugut adik

Suspek ditahan pihak polis untuk siasatan lanjut.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 14 Dis: Tindakan seorang lelaki menusuk dahi adik kandungnya sendiri menggunakan serampang sampah membawa padah apabila dia ditahan pihak polis pada malam Ahad (13 Dis).

Timbalan Ketua Polis Daerah Miri, Supt Mohd Sabri Zainol berkata, dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang di sebuah rumah di Kampung Terahad Bekenu, suspek berusia 42 tahun itu berang kerana permintaan untuk mendapatkan duit sebanyak RM500 daripada adik lelakinya tidak diendahkan.


“Suspek telah menjadi marah lalu mengambil serampang tersebut dan menyucuk dahi adiknya uang berusia 34 tahun itu sebanyak tiga kali dan dalam masa yang sama suspek telah mengambil duit pengadu sebanyak RM500, kemudian suspek telah keluar dari rumah dan menghilangkan diri,” ujar Sabri.

Difahamkan kejadian berlaku sebaik sahaja mangsa pulang dari kebun.

“Suspek sebelum ini selalu meminta duit dengan pengadu, dan hasil siasatan awal mendapati suspek mempunyai dua rekod lampau berkaitan kesalahan dadah,” jelas Sabri.

Turut dirampas sebatang garu sampah ganggang besi yang disyaki digunakan dalam kejadian.

Kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan kerana kesalahan merompak dan samun. — DayakDaily