Polis Miri berkas lelaki Indonesia yang disyaki melarikan RM2,000, telefon bimbit

Suspek (baju merah) dibawa ke Balai Polis Pusat Miri untuk siasatan lanjut.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 2 Nov: Seorang lelaki warga Indonesia ditahan pihak polis pagi ini, sebagai suspek dalam kes melarikan wang tunai sebanyak RM2,000 milik sebuah kiosk menjual minyak wangi tidak sampai 24 jam selepas polis menerima maklumat tentang lokasi suspek.

Suspek, berusia 25 tahun itu ditahan sekitar jam 11.05 pagi di tingkat dua sebuah pusat membeli belah di Jalan Merpati.


Turut dirampas sebuah telefon bimbit dipercayai dicuri dalam kejadian yang berlaku pada Jumaat (30 Okt).

Tangkapan dilakukan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Miri (JSJ) Miri selepas menerima maklumat tentang keberadaan suspek pada pagi semalam itu.

Dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 10 pagi pada Jumaat itu, penjaga sebuah kiosk menjual minyak wangian di sebuah pusat membeli belah mendapati wang tunai berjumlah RM2,000 dan sebuah telefon bimbit telah hilang dari kaunter.

Satu laporan polis telah dibuat oleh pemilik kedai selepas dimaklumkan mengenai kejadian itu.

Bertindakan atas laporan pengadu, polis kemudian menahan warga Indonesia berkenaan untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan atas kesalahan mencuri dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah. — DayakDaily