Polis menyerbu rumah sama dua kali, 7 ditahan disyaki menyalahguna dadah

Gambar komposit menunjukkan tujuh suspek yang ditahan polis dalam dua serbuan di rumah yang sama.

KUCHING, 25 Nov: Tujuh individu termasuk dua wanita disyaki terlibat dengan penyalahgunaan dadah di tahan polis dalam dua serbuan berasingan semalam.

Ketua Polis Daerah Padawan Superitenden Aidil Bolhassan berkata, kesemua suspek tersebut ditahan di lokasi sama iaitu di sebuah rumah di Jalan Batu Kawa Residence disini semalam.

“Serbuan pertama kita menahan lima suspek iaitu empat lelaki dan seorang wanita warga tempatan berumur antara 27 hingga 43 tahun.


“Hasil pemeriksaan telah menjumpai dua peket plastik lutsinar yang di dalamnya mengandungi ketulan-ketulan hablur kristal disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat sebanyak 17.30 gram,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, serbuan kedua di lokasi sama pada waktu berlainan turut menahan dua lagi individu iaitu seorang lelaki dan seorang wanita tempatan berusia 35 dan 32 tahun.

Tambah Aidil, pemeriksaan lanjut ke atas kedua-dua suspek turut menemui 10 paket kecil serta satu paket besar lutsinar mengandungi ketulan kristal disyaki dadah jenis methamphetamine dengan anggaran berat kasar 9 gram dan tiga keping papan foil pill berwarna merah serta kelabu disyaki dadah jenis Erimin 5 dengan anggaran berat kasar 9.36 gram.

“Kesemua suspek iaitu lima daripada sebuan pertama dan dua dari sebuan kedua dibawa ke Ibupejabat Polis Daerah Padawan untuk membantu siasatan kes terbabit.

“Semua suspek ini akan disiasat dan akan dituduh di bawah Seksyen 39(A) dan 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Tegas Aidil, walaupun perlu menjalankan operasi berkaitan pemantauan berkaitan pandemik Covid-19, tanggungjawab dalam membanteras jenayah dan penyalahgunaan dadah tetap dilaksanakan tanpa gagal. — DayakDaily