Covid-19: 970 kes baharu dan 2,348 pulih

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 25 Nov: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan bahawa terdapat 970 kes baharu positif Covid-19
dilaporkan hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia melibatkan 965 kes tempatan dan lima kes import.


“Kes positif terkini itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif adalah sebanyak 59,817 kes.

“Dengan itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah sebanyak 12,971 kes,” katanya pada satu sidang media di Putrajaya hari ini.

Negeri Sembilan pada hari ini melaporkan jumlah kes harian tertinggi iaitu sebanyak 318 kes bersamaan dengan 32.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kes baru.

Ini diikuti oleh Sabah dengan sebanyak 293 kes (30.2 peratus) dan Selangor dengan sebanyak 115 kes (11.9 peratus).

Tambah Dr Noor Hisham, terdapat sebanyak 2,348 kes pulih dan dibenarkan discaj, menjadikan jumlah kumulatif kes pulih adalah 46,501 kes atau 77.5 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Sehingga kini, terdapat 110 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU)dan 47 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan terdapat pertambahan empat kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes berkenaan 345 kes.

“Dukacita dimaklumkan terdapat empat kes kematian dilaporkan pada hari ini melibatkan tiga kes bukan warganegara dan satu kes warganegera.

“Dua kes kematian dilaporkan di Sabah manakala satu kes masing-masing di Pulau Pinang dan Labuan. KKM mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mereka,” ujar beliau.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan terdapat lima kluster baharu dilaporkan hari ini iaitu Kluster D’Bajaru di Lahad Datu, Sabah, Kluster Gangsa di Kuala Langat, Selangor, Kluster Batu Tujuh di Johor, Kluster Tanjung Bunga di Johor dan Kluster Kerengge di Marang, Terengganu. — DayakDaily