MIRI, 24 Mei: Seorang lelaki ditahan dan 4,400 karton rokok tidak dibayar cukai dirampas oleh Unit Risikan Marin (URM) Markas Taktikal Pasukan Polis Marin Wilayah 5 Miri, Sarawak awal pagi tadi.
Menurut Ketua Polis Daerah Miri ACP Alexson Naga Chabu, dalam Operasi Kontaraban yang dilakukan sekitar jam 5.50 pagi itu, polis turut merampas sebuah lori yang membawa muatan tersebut.
“Semasa pemeriksaan lanjut ke atas lori berkenaan, di tepi Jalan Cahaya, Lopeng, anggota kita menemukan rokok tersebut disimpan dibelakang lori dan setelah di soal siasat, pemandu gagal mengemukakan sebarang dokumen yang sah daripada pihak Kastam,” katanya dalam satu kenyataan media.
Rokok tersebut disyaki dibawa tanpa cukai kastam dan telah melakukan kesalahan di bawah Akta Kastam 1967.
Nilai keseluruhan rampasan adalah sebanyak RM998,000. — DayakDaily