1,500 karton rokok pelbagai jenama dengan anggaran nilai RM95,000 dirampas di Tebedu

Rampasan 1,500 karton rokok pelbagai jenama di kawasan Tebedu.
Advertisement

Oleh DayakDaily Team

KUCHING, 14 Mei: Divisyen Pertama Infantri semalam berjaya merampas 1,500 karton rokok pelbagai jenama di kawasan Tebedu, kira-kira 900 meter ke sempadan Malaysia-Indonesia.

Panglima 1 Divisyen Mej Jen Datuk Mohamed Fauzi Kamis berkata, rampasan dilakukan di tapak Gudang Lama, iaitu lorong tikus yang telah dikenal pasti.

Advertisement

Katanya, anggaran nilai keseluruhan rampasan adalah RM 95,000.

“Semasa melakukan rondaan, anggota telah melihat sebuah van sedang membawa muatan yang mencurigakan dengan plastik hitam di laluan haram dari Malaysia menuju ke Indonesia.

“Seterusnya, pasukan keselamatan telah bertindak menahan van tersebut bagi pemeriksaan dokumen dan barangan yang dibawa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Mohamed Fauzi, van tersebut dipandu oleh seorang warganegara Malaysia dan membawa bungkusan berisi rokok untuk diseludup ke Indonesia.

Laporan polis telah dibuat di Balai Polis Tebedu pada 14 Mei dan kesemua barangan yang dirampas telah diserahkan.— DayakDaily

Advertisement